Translate

Tuesday 27 November 2012

ADAT KEMATIAN KAUM MELAYU



"Setiap Yang Hidup Pasti Merasakan Mati”
Bagi kebanyakan masyarakat Melayu, wajib bagi mereka menuruti kaedah pengkebumian berasaskan garis panduan al-Quran dan as-Sunnah dan diselitkan dengan sedikit adat-adat kemelayuaan.

             Pertamanya,semasa berlakunya kematian, keluarga si mati akan menghebahkan kematian kepada imam atau siak yang berada di masjid seterusnya masyarakat sekitar. Hal ini bertujuan mendapatkan pertolongan daripada orang yang lebih arif untuk menguruskan jenazah si mati.Di samping itu,untuk menghebahkan kematian si mati.
 
            Mayat tersebut akan diletakkan di ruang tengah rumah dan dibaringkan serta ditutup dari kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan kiri ke dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan kemenyan akan dibakar. Tambahan pula,Semasa mayat masih berada di dalam rumah, sebarang jamuan tidak akan diadakan. Mayat tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin.

            Kemudian, mayat akan dibersihkan melalui upacara mandi wajib (kecuali mati syahid). Proses memandikan jenazah hanya akan dilaksanakan oleh kaum sejantina si mati. Biasanya daripada kalangan keluarga si mati itu sendiri.Ianya meliputi membersihkan seluruh bahagian badan si mati menggunakan kapur barus dan mengeluarkan sisa-sisa perkumuhan dari tubuhnya.Ini kerana ianya sejajar dengan tuntutan agama yang menyatakan bahawa si mati perlu bertemu dengan tuhannya (Allah S.W.T) dalam keadaan bersih.

              Selesai memandikan mayat, jenazah akan dikafankan. Kafan disini mendukung maksud membalut badan jenazah dengan aturan tertentu. Proses mengafankan melibatkan penggunaan kain putih yang mencukupi beserta dengan tali, juga berwarna putih untuk mengikat seterusnya mengukuhkan lagi balutan kain kafan tersebut.Balutan lapisan bagi mayat lelaki ialh 5 lapisan manakala mayat perempuan 7 lapisan. Sesudah jenazah dikafankan, ahli keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup mayat sebagai tanda penghormatan terakhir tetapi disyaratkan air mata tidak menitis pada tubuh jenazah.

             Sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda,seorang wakil atau waris si mati akan memberi ucapan ringkas dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati jika selama hayatnya beliau pernah berbuat dosa terhadap seseorang. Wakil tersebut juga akan meminta supaya mana-mana hutang si mati yang masih belum dijelaskan agar dapat dihalalkan ataupun si penuntut boleh menuntutnya pada waris si mati. Sebelum keranda diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali dibawah keranda tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati. Walau bagaimanapun adat lalu di bawah keranda ini tidak lagi dilakukan oleh masyarakat Melayu pada hari ini. Selepas itu jenazah akan dimasukkan ke dalam keranda dan diusung ke tanah perkuburan. Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum wanita kurang digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut. Tangisan dan ratapan yang berlebihan terutamanya di tanah perkuburan tidak digalakkan dalam Islam (Ahmad Fahmi Irsyad bin Aziz Azmi)

             Sebelum dikebumikan jenazah akan disolatkan di masjid atau surau yang berhampiran dahulu sebelum dikebumikan. Selesai sembahyang mayat, biasanya diedarkan sedekah berupa wang atau benda contohnya seperti kain pelekat kepada mereka yang telah menyembahyangkan mayat itu.Selesai sahaja solat mayat,mayat dengan kerandanya itu akan dibawa dan dimasukkan ke dalam kubur yang disedia.Sebelum ditimbus kubur itu, siak masjid atau sesiapa akan turun ke dalam kubur membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat itu serta membukakan ikatan di kepala. Kepala mayat akan disendal dengan tanah yang telah dikepal-kepal dan selepas diazankan di telinganya. Selesai kubur itu ditimbus, dipacakkan sebatang ranting pohon sebagai tanda untuk memacakkan batu nesan pada kemudian hari. Dua batang batu nesan tertulis nama, tarikh lahir dan juga tarikh kematian akan dicacak di atas kubur sebagai tanda.

              Seterusnya upacara membaca talkin dan membaca doa kepada si mati akan dijalankan oleh tuan haji, lebai atau tuan alim. Selepas talkin dan doa habis dibaca, air akan disiram di atas kubur si mati dari bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga rampai pula ditabur .

             Biasanya selepas kematian si mati,kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh empat atau keseratus hari. Tujuannya adalah untuk mendoakan kesejahteraan si mati yang berada di alam barzakh. Ada juga masyarakat Melayu yang melakukan adat turun batu iaitu menimbus kubur si mati dengan batu-batu kecil dan membina pagar kecil di sekeliling pusara tersebut selepas seratus hari seseorang itu meninggal dunia.

10 comments:

  1. Izinkan saya unutk copy sebgai rujukan sivik saya. TQ

    ReplyDelete
  2. Thank you! Boleh copy tak? for my PSK's folio :( !

    ReplyDelete
  3. izinkan saya untuk gunakan blogpost ni sebagai reference untuk assignment saya ye. terima kasih

    ReplyDelete
  4. Bagusnya entry ni :) Sebagai rujukan dan ilmu untuk Ggenerasi akan datang

    ReplyDelete
  5. izinkan untuk copy sebagai rujukan . terima kasih :)

    ReplyDelete
  6. nice info. may i have your permission to copy this for reference for my assignment. thank you

    ReplyDelete
  7. terima kasih atas info yg dikongsi

    ReplyDelete